SUNTIKAN MINDA

"Bergembiralah dengan pilihan Allah untuk anda, sebab anda tidak tahu tentang muslihat yang tersembunyi di sebaliknya. Boleh jadi kesulitan itu lebih baik bagi anda daripada kesenangan....."

Sunday, December 12, 2010

Lontaran 18: Cuti Sekolah..Apa yang perlu kita lakukan..

Bismillahirrahmanirrahim…

Kini musim cuti sekolah telah bermula. Pada kebiasaannya murid-muridlah orang yang paling gembira apabila sekolah bercuti kerana mereka tidak perlu datang ke sekolah malah dapat berehat dan menjalankan aktiviti lain di rumah.

Musim cuti sekolah juga ada para ibu bapa mengambil kesempatan dan merancang untuk membawa keluarga mereka melancong atau pergi berkelah (makan angin) sebagai memenuhi aktiviti musim cuti.

Bukan itu sahaja, pada kesempatan musim cuti sekolah juga digunakan bagi pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan kerana inilah masa yang sangat sesuai kerana semua saudara mara dan ahli keluarga dapat berkumpul berbanding hari-hari biasa. Bagi yang melangsungkan perkahwinan pada musim cuti ini, kalam ini mengucapkan tahniah dan “Selamat Pengantin Baru”.

Namun tidak lupa juga kepada pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan penting seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM lakukanlah aktiviti-aktiviti yang berfaedah musim cuti ini. Jangan anggap sekolah cuti, belajar pun cuti…he he…Apa yang penting aturkan aktiviti itu dengan sebaik mungkin agar kita tidak membuang masa begitu sahaja tanpa melakukan apa-apa yang boleh memberi manfaat kepada diri kita sendiri.

Justeru itu, ibu bapa haruslah memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak menggunakan masa yang bijak untuk belajar di masa cuti ini. Ibu bapa juga harus menjadi “teman” ketika anak-anak sedang mengulangkaji pelajaran di rumah. Namun tidak semua ibu bapa dapat bersama sepenuhnya dengan anak mereka, mungkin ada yang kerja dan sebagainya. Walaupun begitu, luangkanlah sedikit masa demi kecemerlangan anak-anak kita.

Di sini saya ingin mengesyorkan beberapa aktiviti yang perlu dilakukan di musim cuti ini khususnya para pelajar yang akan mengambil peperiksaan pada tahun hadapan.

Antaranya ialah :

  • Anda harus menjadualkan waktu belajar agar masa tidak berlalu begitu sahaja tanpa dipenuhi dengan sebarang tindakan yang berguna. Gunakan waktu pagi seawal mungkin atau waktu malam untuk mengulang kaji topik-topik yang memerlukan daya ingatan kerana waktu begini minda kita segar serta diri kita mempunyai tenaga yang banyak. Gunakan masa waktu petang dan juga malam untuk membuat latihan atau perbincangan dengan rakan.
  • Anda juga digalakkan membuat perbincangan kumpulan sama ada di rumah kawan atau di sekolah dengan izin ibu bapa dan guru. Untuk menjadikan perbincangan itu berkesan, berfaedah dan tidak membuang masa, anda harus menetapkan dahulu topik perbincangan.
  • Menyertai majlis ilmu. Majlis ilmu seperti kelas tambahan, kem motivasi dan sesi bimbingan boleh disertai untuk menambahkan kemahiran serta meningkatkan aras motivasi diri.

Oleh itu, jangan membuang masa tanpa belajar. Perbuatan seperti melepak, berkeliaran, merempit dan sebagainya haruslah dielakkan kerana ia tidak memberi faedah. Setiap saat yang digunakan mampu meningkatkan prestasi anda. Sesungguhnya orang yang membuang masa adalah orang yang amat rugi di dunia dan di akhirat.

http://ibnismail.wordpress.com

Friday, November 26, 2010

Lontaran 17 : Keliru Memilih Masa Depan

“Allah menguji hambaNya dengan menimpakan musibah sebagaimana seorang menguji kemurnian emas dengan api (pembakaran). Ada yang ke luar emas murni. Itulah yang dilindungi Allah dari keragu-raguan. Ada juga yang kurang dari itu (mutunya) dan itulah yang selalu ragu. Ada yang ke luar seperti emas hitam dan itu yang memang ditimpa fitnah (musibah)” (HR. Ath-Thabrani)

“Aku bukannya minat melukis pun”, kata seorang rakan jurusan seni bina.

“Aku bukannya kreatif pun. Kalau kira-kira ni boleh la”, tambah seorang lagi.

Dalam keadaan suka duka menerima keputusan SPM, menjadi satu kebiasaan lepasan SPM konfius dengan pemilihan kerjaya. Barangkali terlalu banyak pilihan sehingga personaliti pun tidak nampak signifikannya setelah 11 tahun di alam persekolahan. Cita-cita lama entah hilang ke mana.

“Aku minat bidang seni ni. Apa ni.. Seni kulinari?”, kata seorang rakan yang sedang mengisi borang UPU.

“Ambil jelah. Asalkan ada seni”.

“Ey, tau tak seni kulinari tu apa?”, tanya saya tersenyum sinis.

“Seni kulinari ni seni masakanlah!” Dua-dua ketawa.

‘THE CONFUSE COMPLEX’

Kadang-kadang saya kasihan dengan pelajar yang dapat skor straight A, tetapi dapat kursus yang biasa-biasa, tak minat. Gara-gara tersalah isi borang, jadilah mangsa ‘lelong’ UPU dalam tawaran kursus-kursus yang kosong.

Sebenarnya, satu perkara yang normal jika konfius dalam situasi ini. Tetapi, lantaran begitu keliru inilah kadang-kadang tergopoh dalam membuat pilihan.

Dalam keadaan ini, tidak terlambat lagi pelajar lepasan SPM untuk mengenal diri. Di internet, banyak ujian-ujian personality career test yang diiktiraf dan dikaji. Dengan mengetahui secara mendalam signifikan dalaman, insyaAllah dapat memberikan keyakinan dalam membuat pilihan.

ASASI ATAU MATRIK?

Yang paling biasa berlaku, ramai yang memilih matrikulasi kerana 2 sebab. Yang pertama ikut rakan-rakan lama. Yang kedua kerana masih tidak pasti. Tetapi awas, kerana masuk ke matrikulasi masih belum selamat untuk kerjaya. Jika dapat pointer yang rendah, bersiap sedialah disumbat ke kursus ‘lelong’.

Satu pesanan saya, bagi yang dapat keputusan SPM yang cemerlang, elakkan masuk ke matrikulasi kerana dikhuatiri kerana persekitaran baru menyebabkan usaha tidak sama seperti di sekolah dahulu, dalam erti kata lain, pointer rendah. Tetapi, jika anda yakin untuk dapat skor dengan baik di matrikulasi, maka digalakkan kerana matrikulasi boleh dikatakan jalan pintas ke peringkat Sarjana Muda.

Asasi pula adalah matrikulasi yang disediakan oleh pihak universiti. Melalui asasi, pelajar akan lebih fokus dengan pembelajaran yang dipilihnya. Contoh, asasi perubatan akan belajar lebih khusus ketika asasi, berbanding dengan matrikulasi KPM yang hanya terbatas pada pembahagian sains hayat dan sains fizikal.

DIPLOMA KE SARJANA MUDA VS ASASI/MATRIKS KE SARJANA MUDA

Ketika mengisi borang UPU, banyak tawaran yang menyediakan diploma. Ada yang masih keliru dan teringin nak belajar cepat. Perlu diingat di sini, seorang profesional mana ada nak belajar cepat-cepat. Kalau anda mengambil diploma, biasanya tiada asasi, terus belajar antara tempoh 3 atau 4 tahun. Sijil diploma layak untuk bekerja.

Jika anda berhasrat untuk terus belajar ke peringkat sarjana muda JANGAN pilih diploma. Setelah selesai graduasi, ada tempoh paling kurang 6 bulan bercuti sebelum belajar ke peringkat sarjana muda. Ada kursus sarjana muda yang menetapkan pointer tertentu untuk meneruskan pengajian. Kursus sarjana muda sambungan diploma kebiasaannya akan dibahagi setengah tempoh pengajiannya.

Jadi, tempoh pengajiannya sebenar lebih lama jika menyambung pengajian berbanding bermula dengan asasi/matrikulasi.

Bagi yang mengambil asasi/matrikulasi, sijil ini tidak diterima untuk melayakkan anda bekerja. Anda akan terus ke pengajian universiti pilihan bagi matrikulasi, universiti tertentu bagi asasi.

KEKELIRUAN MEMILIH BIASISWA

Ramai yang salah faham bahawa biasiswa ditawarkan sebagai hadiah untuk pelajar cemerlang. Sebenarnya biasiswa memang ditawarkan kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang DENGAN kontrak bekerja dengan syarikat yang menawarkan biasiswa itu dalam tempoh tertentu (ada sehingga 10 tahun). Jangan buntang mata dengan tawaran yang biasiswa yang begitu tinggi kerana dikhuatiri setelah grad, anda bekerja sampai tengah malam.

Biar bersusah-susah dulu baru senang. Bukan bersenang-senang baru rasa susah!


-Salah satu tempat persediaan luar negara bagi penerima biasiswa JPA, INTEC-

Pilihlah biasiswa MARA atau JPA. Bagi jurusan perubatan dan kejuruteraan, anda akan mengikat kontrak dengan bekerja di bawah kerajaan dalam tempoh tertentu di bawah tajaan JPA. MARA tidak perlu ikat kontrak, BONUS!

Bagi yang ingin dapatkan biasiswa, teruskan ghairah mencari peluang-peluang biasiswa ini. Kebanyakannya bakal pemilik biasiswa akan ditemu duga. Mulakan menguasai kemahiran ketika ditemu duga.

Biasiswa ini biasanya ditawarkan oleh syarikat tertentu bagi mengisi tenaga pakar sebagai employee mereka kelak. Persaingan sangat sengit. Kebiasaannya mereka menghantar pelajar-pelajar tajaan ini ke luar negara.

Bagi jurusan seperti saya ini, seni bina, tiada syarikat yang memerlukan orang macam kami. Hehe. Arkitek bekerja dengan syarikat kecil. Hanya satu sahaja biasiswa yang menawarkan, iaitu JPA. Ini duit rakyat ya.

DALAM NEGARA VS LUAR NEGARA

Sebenarnya pemilihan antara dalam atau luar negara adalah terpulang pada persediaan diri. Ada yang kerana dapat tawaran luar negara, walaupun kursus yang tidak diminati, dia tetap pergi. Ada juga yang tidak mahu kerana tak mahu pisah dengan keluarga. Saya menegaskan tawaran luar negara tak semestinya lebih baik dari dalam negara.

Kita ambil satu contoh, jurusan perubatan. Di Malaysia sebenarnya sistem perubatan kita sangat bagus. Di Universiti Malaya (UM), pelajar perubatan mesti mendapatkan pointer sekurang-kurangnya 3.8 CGPA, atau dihantarkan keluar negara. Di UKM, negara jurusan pergigian, negara kita pernah diiktiraf antara yang terbaik di peringkat antarabangsa.

Maka, tidak perlu terlalu mengidamkan luar negara.

Tetapi, bukanlah bererti saya tidak setuju. Ke luar negara bagus sebenarnya memberikan kita perspektif dan suasana baru di negara orang. Ketika itulah anda akan mengenal rasa sebagai masyarakat minoriti. Saya pernah dengar bekas pelajar luar negara menceritakan, terutama di negara-negara white skin, ketika itulah mereka merasakan perlu wujudnya suasana Islam bagi pelajar-pelajar.

Ia mengukir pelbagai pengalaman yang indah.

Untuk merasakan persekitaran ini, cuba-cubalah melayari blog sahabat-sahabat yang berada di perantauan. Tanya pendapat. Jika bersedia, buat yang terbaik di peringkat A level/Ausmat/International Baccelaurate (IB) dan sebagainya.

BUATLAH YANG TERBAIK

Kerana anda sahaja tahu signifikan kenapa anda berada di bumi ini. Anda sahaja yang memahami apa tuntutan, tanggungjawab, anda terhadap keluarga, bangsa dan agama.

Jangan tersilap.

Kerana saya juga keliru ketika keadaan ini dahulu. Saya juga cuba menilai siapa saya ketika itu. Saya juga hampir tersilap memilih kerjaya...

Jadilah pelita umat. Sedarilah kekhalifahan kita.



Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat:

“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”(Surah Al-Baqarah : 30)

Wallahu’alam

Dipetik dari blog Akmal Hakim http://senikehidupan.wordpress.com

Monday, November 22, 2010

Selamat Menduduki Periksaan....SPM/STPM

Saya mengucapkan selamat menduduki peperiksaan SPM/STPM kepada semua calon yang terlibat. Semuga peperiksaan yang dihadapi pada tahun ini dapat menyerlahkan hasil dari bakat sebenar yang telah diasuh sekian lama oleh para ibu bapa dan guru kepada anak didik masing-masing.

Harapan saya semuga kejayaan yang diperoleh nanti adalah perangsang yang terus memberi semangat kepada para ibu bapa dan guru untuk meneruskan agenda pendidikan yang belum berakhir...

Beberapa Pesanan Sebelum Anda Mengulangkaji Pelajaran

1. Mengerjakan sembahyang hajat dua rakaat sebelum mengulangkaji agar Allah memberikan pertolonganNya kepada anda.
2. Membaca al-Quran sebelum memulakan ulangkaji, kerana ia akan menjauhkan syaitan daripada anda dan wajah anda akan dipenuhi dengan cahaya al-Quran.
3. Mulakan dengan berdoa.
4. Buatlah perancangan terlebih dahulu, seperti anda menentukan apakah subjek-subjek yang akan diulangkaji, tajuk-tajuk dan masa bagi setiap subjek dengan membuat jadual yang lengkap.
5. Mulakan dengan subjek-subjek yang mudah terlebih dahulu, kemudian barulah berpindah kepada subjek-subjek yang sukar.
6. Jangan tangguhlah kerja hari ini kepada esok hari. Anda hendaklah sentiasa mengulangkaji subjek yang anda pelajari pada hari yang sama.
7. Peruntukkan waktu yang mencukupi untuk berehat. Tetapkan satu hari setiap minggu bagi anda berehat dan berhibur.
8. Pilihkan tempat yang tenang dan jauh daripada sebarang gangguan serta ambil beratlah tentang masalah pencahayaan yang mencukupi, begitu juga dengan masalah kesihatan.
9. Cuba sedaya upaya untuk mengosongkan fikiran anda daripada sebarang permasalahan atau kesibukan sebelum mengulangkaji pelajaran.
10. Ambil beratlah tentang cara duduk yang betul iaitu belakang anda hendaklah lurus.
11. Segeralah pergi menunaikan sembahyang sebaik sahaja anda mendengar azan, kerana Allah swt tidak akan memberkati pekerjaan yang melalaikan daripada sembahyang.
12. Selangkan di antara satu subjek dengan subjek lain yang anda ulangkaji dengan satu kadar masa yang mencukupi untuk berehat.

Bagaimana Anda Bersedia Menghadapi Peperiksaan

Dr ‘Ata Barakat berkata:

Agar bersedia untuk menghadapi peperiksaan, anda perlu melakukan dua perkara yang penting:

Pertama: Penguasaan yang baik

Ini berlaku melalui empat perkara berikut:

1. Anda terus mengulangkaji subjek yang anda pelajari sepanjang tahun sebaik sahaja selepas anda mempelajarinya. Janganlah anda tangguhkan sedikitpun meskipun sedikit.
2. Ulangkaji pelajaran terdahulu sebelum memulakan pelajaran baru.
3. Melakukan ulangkaji mingguan dengan membaca semula secara pantas pelajaran-pelajaran yang sudah diulangkaji pada minggu tersebut.
4. Membuat ulangkaji pada masa cuti dan juga secara bulanan.

Kedua: Ulangkaji yang intensif sebelum peperiksaan

Ia juga boleh dilakukan melalui empat langkah berikut:

1. Menyusun segala maklumat di dalam fikiran anda dengan susunan yang baik dan sistematik.
2. Memilih waktu yang sesuai untuk mengulangkaji, iaitu setiap subjek mempunyai waktu yang khusus. Jika anda merasa jemu, anda boleh mula menyelesaikan soalan-soalan matematik.
3. Membuat jadual waktu yang baik dan tersusun agar setiap subjek mempunyai jangkamasa waktu yang sesuai dan tidak mengganggu waktu yang diperuntukkan untuk subjek yang lain.
4. Menjawab banyak soalan dan menyelesaikan banyak permasalahan terutamanya soalan-soalan yang sukar.

KEJAYAAN ANDA ADALAH KEBANGGAAN KAMI.....