SUNTIKAN MINDA

"Bergembiralah dengan pilihan Allah untuk anda, sebab anda tidak tahu tentang muslihat yang tersembunyi di sebaliknya. Boleh jadi kesulitan itu lebih baik bagi anda daripada kesenangan....."

Tuesday, December 28, 2010

Lontaran 20 : Tips Persediaan Di Gerbang Persekolahan Anak

Panduan Ibubapa Memotivasi Anak Di Awal Persekolahan

* Latih anak-anak supaya bertanggungjawab terhadap barang-barang sendiri seperti beg sekolah, buku teks, alat tulis, buku tulis.

* Beri peluang anak jalin hubungan baik dengan rakan sebaya untuk memupuk kemahiran bergaul dan berkomunikasi di sekolah.

* Gunakan bahasa yang sempurna di rumah kerana penguasaan sesuatu bahasa dengan baik dapat membantu meningkatkan kefahaman anak di sekolah.

* Asuh anak tentang kemahiran berpakaian khususnya apabila menukar pakaian untuk pendidikan jasmani serta cara melipat dan menyimpan pakaian di tempat selamat.

* Latih anak menggunakan tandas secara betul seperti amalan beristinjak, menanggalkan pakaian dan memakai semula serta amalan mencuci tangan selepas ke tandas.

* Minta anak-anak hafal beberapa nombor telefon seperti rumah, pejabat atau telefon bimbit.

* Terangkan keadaan bagaimana mereka boleh menghubungi ibu bapa seperti sakit perut, demam, tertinggal bas, waktu persekolahan tamat lebih awal dan sebagainya.

* Latih anak-anak menyampaikan pesanan yang betul dalam bentuk lisan atau bertulis agar apa yang dipesan guru kepada ibu bapa dapat diingat dengan betul.

* Terangkan keadaan bila dan bagaimana untuk meminta bantuan guru atau orang dewasa seperti terjatuh, terluka, dipukul murid dan sebagainya.

* Perkenalkan anak dengan nilai wang dan banyak mana yang patut diberi apabila membeli makanan di kantin sekolah.

* Latih anak mengawasi waktu bila seharusnya mereka patut bangun tidur,
mandi, sembahyang, gosok gigi, dan berpakaian untuk ke sekolah

* Ajar anak anda cara membaca jadual waktu sekolah.

Sunday, December 12, 2010

Lontaran 19 : Tip Belajar Semasa Cuti Sekolah..

Berikut adalah beberapa tip belajar semasa cuti sekolah agar anda tidak menghabiskan masa cuti dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah dan bermanfaat.

Perlu diingatkan di sini, tip ini sangat berguna kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting pada tahun hadapan seperti UPSR, PMR, SPM, STAM dan STPM sebagai persediaan awal sebelum masuknya sesi baru persekolahan.

Terdapat beberapa tip yang boleh anda amalkan semasa cuti sekolah ini. Antaranya ialah :

1. Mengamalkan prinsip belajar “sedikit demi sedikit”

Belajar dalam janka masa yang singkat, tetapi kerap dan berterusan. Contohnya pada musim cuti ini anda buat latihan matematik selama 30 minit dan ulangkaji atau buat latihan bahasa inglish selama satu jam setiap pagi.

2. Siapkan semua kerja sekolah yang diberikan

Saya percaya sebelum anda cuti, guru-guru anda telah memberi kerja sekolah untuk disiapkan pada waktu cuti ini. Oleh itu, jangan tangguh lagi!!! Jika tidak mampu menyiapkannya sekali gus dalam masa yang singkat, buatlah kerja itu sedikit demi sedikit sepanjang minggu pertama cuti sekolah. Sebaiknya anda buatkan jadual waktu belajar.

3. Menyemak nota-nota

Jangan lupa untuk menyemak nota-nota anda setiap hari. Jika terdapat nota yang tidak lengkap, anda harus kemaskini dengan segera. Anda juga boleh merujuk kepada nota-nota kawan yang telah lengkap atau merujuk kepada buku rujukan. Apabila nota anda sudah lengkap, ini memudahkan anda untuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan pada tahun hadapan.

4. Menjawab soalan berformat UPSR, PMR, SPM, STAM atau STPM.

Ambillah kesempatan pada musim cuti ini dengan membiasakan diri anda dengan menjawab soalan-soalan yang berformat UPSR, PMR, SPM, STAM atau STPM. Banyakkan menjawab set soalan berformat peperiksaan tersebut. Antara set soalan yang boleh anda jawab ialah koleksi soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun lepas. Bertanyalah pada kekawan untuk mendapatkan set-set soalan tersebut.

5. Tubuhkan kumpulan belajar

Banyak faedah apabila belajar secara berkumpulan. Antaranya ialah boleh berkongsi ideadan maklumat dengan rakan-rakan yang lain. Selain itu, anda juga boleh melakukan perbincangan dan membuat nota ringkas mengikut topik yang telah ditetapkan.

6. Membaca bahan bacaan tambahan

Anda boleh menggunakan masa terluang semasa cuti sekolah ini dengan membaca bahan-bahan bacaan tambahan yang berbentuk ilmiah. Antaranya ialah majalah, surat khabar, buku-buku berbentuk motivasi dan sebagainya.

Akhir kalam dari saya semoga anda menggunakan masa cuti sekolah ini sebaik mungkin. Jangan membazirkan masa anda dengan melepak, berkunjung ke pusat-pusat game dan sebagainya. Gunakan masa itu untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat kepada diri anda. Semoga anda berjaya pada masa akan datang.

Sebelum saya akhiri kalam ini, saya ingin berpesan kepada para ibu bapa agar awasilah pergerakkan anak anda. Sepertimana kita ketahui sekarang adalah musim banjir, jangan biarkan anak-anak bermain air untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.

“SELAMAT BERCUTI……………….”

http://ibnismail.wordpress.com

Lontaran 18: Cuti Sekolah..Apa yang perlu kita lakukan..

Bismillahirrahmanirrahim…

Kini musim cuti sekolah telah bermula. Pada kebiasaannya murid-muridlah orang yang paling gembira apabila sekolah bercuti kerana mereka tidak perlu datang ke sekolah malah dapat berehat dan menjalankan aktiviti lain di rumah.

Musim cuti sekolah juga ada para ibu bapa mengambil kesempatan dan merancang untuk membawa keluarga mereka melancong atau pergi berkelah (makan angin) sebagai memenuhi aktiviti musim cuti.

Bukan itu sahaja, pada kesempatan musim cuti sekolah juga digunakan bagi pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan kerana inilah masa yang sangat sesuai kerana semua saudara mara dan ahli keluarga dapat berkumpul berbanding hari-hari biasa. Bagi yang melangsungkan perkahwinan pada musim cuti ini, kalam ini mengucapkan tahniah dan “Selamat Pengantin Baru”.

Namun tidak lupa juga kepada pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan penting seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM lakukanlah aktiviti-aktiviti yang berfaedah musim cuti ini. Jangan anggap sekolah cuti, belajar pun cuti…he he…Apa yang penting aturkan aktiviti itu dengan sebaik mungkin agar kita tidak membuang masa begitu sahaja tanpa melakukan apa-apa yang boleh memberi manfaat kepada diri kita sendiri.

Justeru itu, ibu bapa haruslah memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak menggunakan masa yang bijak untuk belajar di masa cuti ini. Ibu bapa juga harus menjadi “teman” ketika anak-anak sedang mengulangkaji pelajaran di rumah. Namun tidak semua ibu bapa dapat bersama sepenuhnya dengan anak mereka, mungkin ada yang kerja dan sebagainya. Walaupun begitu, luangkanlah sedikit masa demi kecemerlangan anak-anak kita.

Di sini saya ingin mengesyorkan beberapa aktiviti yang perlu dilakukan di musim cuti ini khususnya para pelajar yang akan mengambil peperiksaan pada tahun hadapan.

Antaranya ialah :

  • Anda harus menjadualkan waktu belajar agar masa tidak berlalu begitu sahaja tanpa dipenuhi dengan sebarang tindakan yang berguna. Gunakan waktu pagi seawal mungkin atau waktu malam untuk mengulang kaji topik-topik yang memerlukan daya ingatan kerana waktu begini minda kita segar serta diri kita mempunyai tenaga yang banyak. Gunakan masa waktu petang dan juga malam untuk membuat latihan atau perbincangan dengan rakan.
  • Anda juga digalakkan membuat perbincangan kumpulan sama ada di rumah kawan atau di sekolah dengan izin ibu bapa dan guru. Untuk menjadikan perbincangan itu berkesan, berfaedah dan tidak membuang masa, anda harus menetapkan dahulu topik perbincangan.
  • Menyertai majlis ilmu. Majlis ilmu seperti kelas tambahan, kem motivasi dan sesi bimbingan boleh disertai untuk menambahkan kemahiran serta meningkatkan aras motivasi diri.

Oleh itu, jangan membuang masa tanpa belajar. Perbuatan seperti melepak, berkeliaran, merempit dan sebagainya haruslah dielakkan kerana ia tidak memberi faedah. Setiap saat yang digunakan mampu meningkatkan prestasi anda. Sesungguhnya orang yang membuang masa adalah orang yang amat rugi di dunia dan di akhirat.

http://ibnismail.wordpress.com