SUNTIKAN MINDA

"Bergembiralah dengan pilihan Allah untuk anda, sebab anda tidak tahu tentang muslihat yang tersembunyi di sebaliknya. Boleh jadi kesulitan itu lebih baik bagi anda daripada kesenangan....."

Monday, August 15, 2011

Pendidikan 7 : Permohonan Kemasukan MTD 2012

Permohonan Kemasukan Putera Baru Ke Maktab Tentera DiRaja (MTD) Tingkatan 4 2012 sudah dibuka sekarang kepada pelajar lelaki warganegara Malaysia yang akan menduduki peperiksaan PMR 2011. Permohonan boleh dibuat berdasarkan Peperiksaan Percubaan PMR 2011.

Permohonan MTDSejarah kecemerlangan seorang Putera MTD bermula sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki di bumi MTD. Kehidupan yang dilalui oleh setiap putera dipenuhi dengan kitaran hidup yang berjadual dan displin yang mantap serta penuh dengan budaya hidup ala ketenteraan.

Yang junior diajar oleh senior cara menyesuaikan diri dengan kehidupan di MTD sambil dipantau oleh jurulatih-jurulatih dari berbagai kepakaran dalam perkhidmatan ATM. Segala aktiviti yang dilakukan bersama untuk menerap nilai kerjasama dalam kumpulan dan semangat setia kawan bagi memastikan matlamat utama pernubuhan MTD tercapai iaitu melahirkan bakal-bakal pemimpin masa hadapan.

Syarat Am

  • Pelajar lelaki Tingkatan Tiga Tahun 2011.
  • Warganegara Malaysia.

Syarat Fizikal

  • Jantina – Lelaki.
  • Tinggi minimum – 152 sm.
  • Berat minimum – 40.5 kg.
  • Body Mass Index (BMI) – 18 sehingga 27.
  • Ukuran dada 74 sm (biasa) dan 79 sm (tarik nafas).
  • Penglihatan – Baik dan tidak rabun warna. Jika berkaca mata hendaklah tidak melebihi 6/12.
  • Sihat tubuh badan dan tidak mempunyai penyakit yang boleh memudaratkan diri jika melakukan aktiviti ketenteraan dan lasak.

Syarat Akademik

  • Memperolehi sekurang-kurangnya 4A (Bahasa Malaysia, Bahasa Inggerís, Matematik dan Sains) 2B di dalam peperiksaan Percubaan PMR 2011 dan berpotensi cemerlang dalam peperiksaan sebenar PMR 2011 nanti.
  • Pelajar yang aktif dalam sukan, kelab, persatuan dan unit beruniform akan diberi keutamaan.
  • Perlu menduduki Ujian Khas MTD sebagai prasyarat Kemasukan ke Tingkatan 4 di Maktab Tentera DiRaja.

Temuduga MTD

  • Pelajar yang mendapat keputusan markah yang cemerlang dalam Ujian Khas MTD akan dipanggil untuk menghadiri Sesi Temuduga MTD.
  • Pelajar yang berjaya dalam Temuduga MTD akan ditawarkan pengajian bagi Tingkatan 4 di MTD tahun 2012 dengan syarat keputusan PMR sebenar calon mestilah sekurang-kurangnya 6A 2B (A dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains).

Ujian Khas MTD (UKMTD)

Ujian khas MTD terdiri dari perkara seperti berikut:

  • Ujian Fizikal – Wajib lulus pemeriksaan kesihatan dahulu
  • Ujian Akademik = 50%
    • Keputusan Percubaan PMR – 40 markah
    • Ujian IQ – 40 markah
  • Ujian Fizikal = 30%
    • Ujian Fizikal – 30 markah
    • Penilaian Sukan – 10 markah
    • Penilaian Kepimpinan – 10 markah
  • Temuduga = 20%
    • Personaliti – 10 markah
    • Komunikasi 10 markah
    • Pengetahuan – 10 markah

Permohonan

  • Pemohon boleh memuat-turun dengan mengunakan IE borang permohonan kemasukan (BAT B 115 (Pin 3/03) atau mengambil sendiri dengan datang ke alamat di bawah.
  • Pemohon boleh juga memohon borang permohanan melalui pos dengan menyertakan sampul surat tebal berukuran 25 sm x 36 sm beralamat sendiri dan bersetem RM 1.00 kepada alamat seperti berikut:
    • Sel Pemilihan,
      Pusat Pengurusan Maklumat,
      Maktab Tentera Diraja,
      Kem Sungai Besi,
      57000 Kuala Lumpur.
  • Pemohon akan dimaklumkan oleh Sel Pemilihan MTD mengenai tarikh dan tempat Ujian Khas MTD dijalankan selepas tapisan permohonan dibuat.
  • Borang permohanan BAT B 115 (Pin 3/03) yang telah diisi hendaklah dikembalikan ke alamat di atas.

Tarikh Tutup

  • Permohonan kemasukan ke MTD Tingkatan 4 2012 ditutup pada 30 September 2011.
  • Borang permohonan yang lewat diterima dari tarikh yang ditetapkan tidak akan dilayan.
  • Sekiranya tiada jawapan sehingga 30 Januari 2012, permohonan dianggap tidak berjaya.

Maklumat

  • Sila rujuk laman web Maktab Tentera DiRaja untuk mendapatkan maklumat lanjut.
  • Sila rujuk juga komen-komen di Permohonan Kemasukan MTD 2010 dan 2011 sebagai panduan.
  • Jika terdapat sebarang pertanyaaan sila hubungi Sel Pemilihan MTD di talian 03 9086 7470 atau 03 9086 7471.

Pendidikan 6: Permohonan Kemasukan Ke Sekolah Berasrama Penuh Tingkatan 4 Tahun 2012

Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia memaklumkan bahawa permohonan secara online kemasukan murid ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi tahun 2012 akan dibuka pada 1 September sehingga 15 Oktober 2011.

Para pelajar Tingkatan 3 yang akan menduduki PMR 2011 dan berminat untuk memasuki Tingkatan 4 2012 di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) adalah dipelawa untuk membuat permohonan sekarang. Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan sebanyak 58 buah SBP di seluruh negara yang menyediakan tempat untuk pelajar Tingkatan 4.

Aliran SBP

Ketika ini ada sebanyak 58 buah SBP di seluruh negara dengan pelbagai kombinasi aliran iaitu aliran Sains Tulen, Sains Tulen Agama, Agama dan Sains Teknikal untuk pelajar Tingkatan 4. Setiap aliran SBP ini menawarkan sedikit perbezaan pakej mata pelajaran.

Kementerian Pelajaran menyediakan 55 buah SBP yang menawarkan aliran Sains Tulen, 15 buah SBP menawarkan aliran Sains Tulen Agama, 1 buah SBP menawarkan aliran Agama dan 27 buah SBP menawarkan aliran Sains Teknikal di seluruh negara.

Pakej Mata Pelajaran SBP

Pakej mata pelajaran yang ditawarkan untuk setiap aliran adalah seperti berikut;

Aliran Sains Tulen

Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Pendidikan Islam/ Moral, Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan

Aliran Sains Tulen Agama

Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Al-Quran & Sunnah, Pengajian Syariah.

Aliran Agama

Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Sains, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Al-Quran & Sunnah, Pengajian Syariah, Prinsip Akaun, Ekonomi Asas, Matematik Tambahan

Aliran Sains Teknikal

Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Pendidikan Islam/ Moral, Fizik, Kimia, Lukisan Kejuruteraan, Teknologi Kejuruteraan

Permohonan SBP Tingkatan 4 2012

  • Permohonan Kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh Tingkatan 4 2012 ini perlu dibuat dengan mengisi borang secara online di portal permohonan atas talian yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
  • Borang Permohonan ini hendaklah dicetak dan mesti ditandatangani oleh pemohon dan dihantar kepada Pengetua sekolah asal untuk disahkan. Pihak sekolah akan menghantar borang yang telah disahkan kepada PPD atau JPN.

Tarikh Tutup

  • Permohonan untuk ke Tingkatan 4 SBP 2012 akan ditutup pada 15 Oktober 2011.
  • Keputusan permohonan kemasukan ke Tingkatan 4 SBP 2011 dijangka akan diumumkan pada pertengahan bulan Januari 2011.

Maklumat

  • Sila kunjungi Sistem Permohonan Atas Talian Ke Tingkatan 4 SBP untuk membuat permohonan dan mendapatkan maklumat lanjut.
  • Sila semak Senarai SBP untuk mengetahui SBP dan aliran yang ditawarkan.
  • Sebarang pertanyaan boleh juga diajukan kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Aras 3, Blok 2251, Jalan Usahawan 1, 63000 Cyberjaya, Selangor Darul Ehsan atau telefon 03 8321 7400 atau faks 03 8321 7403/ 7402.
  • Pertanyaan boleh juga dibuat melalui Talian Khidmat Pelanggan KPM di 03 7723 7070 atau emel kpkpm@moe.gov.my

Tuesday, August 2, 2011

Pendidikan 5 : Program Matrikulasi KPM

Program Matrikulasi merupakan satu program persediaan bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi dan perakaunan. Sebelum ini program matrikulasi telah dikendalikan oleh beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lebih 30 tahun yang lalu dengan cara dan corak pelaksanaan yang berbeza.

Logo Kolej Matrikulasi Selangor

Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (BMKPM) telah mengambil kumpulan pertama pelajar matrikulasi daripada kalangan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) pada awal tahun 1999. Pelajar-pelajar ini telah ditempatkan di Kolej Yayasan Pelajaran MARA, Bangi, Selangor. Selepas itu beberapa lagi Kolej Matrikulasi telah dibuka, yang terbaru adalah Kolej Matrikulasi Selangor.

Bermula pada pengambilan tahun 2011/2012 ini, Program Matrikulasi telah berubah ke dalam bentuk program Matrikulasi yang baru. Ini adalah usaha pembaharuan setelah lima tahun program yang lama dijalankan. Walaupun begitu hanya Jurusan Sains yang terbabit dalam perubahan ini. Manakala Jurusan Perakaunan dan Teknikal masih mengekalkan struktur program yang sama seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Jenis Program Matrikulasi KPM

Program Matrikulasi Satu Tahun (PST)

  • PST dijalankan untuk dua semestar yang melibatkan;
    1. Jurusan Sains
    2. Jurusan Perakaunan
    3. Jurusan Teknikal

Program Matrikulasi Dua Tahun (PDT)

  • PDT dijalankan untuk empat semestar yang melibatkan;
    1. Jurusan Sains
  • PDT adalah bagi pelajar yang mempunyai keputusan yang kurang baik tetapi masih ingin mengikuti pengajian di peringkat Matrikulasi di Kementerian Pelajaran Malaysia.
  • PDT hanya untuk pelajar Bumiputera sahaja.

Jurusan Sains

Program Matrikulasi Sesi 2011/2012 yang berwajah baru ini memberi peluang kepada para pelajar daripada latarbelakang Sains untuk memilih tiga modul yang ditawarkan untuk pengambilan yang akan datang.

Perubahan yang akan dilaksanakan adalah di mana tiada lagi program Sains Hayat dan Sains Fizikal tetapi diganti dengan program berbentuk modul iaitu Modul I, Modul II dan Modul III.

Mata pelajaran teras yang ditawarkan bagi setiap modul dalam Jurusan Sains adalah seperti berikut;

  • Modul I – Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik.
  • Modul II – Fizik, Kimia, Sains Komputer dan Matematik.
  • Modul III – Biologi, Kimia, Sains Komputer dan Matematik.

Jurusan Sains dalam program PST menawarkan ketiga-tiga modul di atas. Manakala bagi program PDT hanya ada Modul I dan II sahaja pada tahun pertama.

Jurusan Perakaunan

Jurusan Perakaunan dijalankan hanya dalam program satu tahun atau PST sahaja.

Mata pelajaran teras yang ditawarkan bagi Jurusan Perakaunan adalah Matematik, Perakaunan, Ekonomi dan Pengurusan.

Jurusan Teknikal

Jurusan Teknikal dikhaskan kepada pelajar dari sekolah menengah teknikal atau pelajar dari sekolah harian tetapi mempunyai latar belakang mata pelajaran teknologi kejuruteraan. Jurusan Teknikal juga hanya dalam program satu tahun atau PST sahaja.

Mata pelajaran teras yang ditawarkan bagi Jurusan Teknikal adalah Matematik, Kimia Kejuruteraan, Fizik Kejuruteraan dan Pengajian Kejuruteraan Awam/Mekanikal/Elektrik & Elektronik.

Mata Pelajaran Wajib

Mata Pelajaran yang wajib diambil oleh semua pelajar dari semua jurusan adalah Bahasa Inggeris, Kemahiran Dinamika dan Pendidikan Islam atau Pendidkan Moral.

Kokurikulum

Semua pelajar Matrikulasi diwajibkan juga mengambil salah satu daripada kokurikulum yang ditawarkan, iaitu Sukan dan Permainan, Kelab dan Persatuan atau Pasukan Beruniform.

Senarai Kolej Program Matrikulasi KPM

Selepas Lulus Program Matrikulasi

Pelajar yang lulus Program Matrikulasi dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh IPTA akan berpeluang mengikuti program ijazah pertama di semua universiti awam. Bagi pelajar yang mengikuti Program Matrikulasi boleh memohon mengikuti program pengajian di universiti awam dalam bidang seperti berikut :

Sains / Teknikal

  • Perubatan/Sains Kesihatan Bersekutu
  • Farmasi
  • Pergigian
  • Bioperubatan
  • Sains
  • Sains Komputer
  • Sains Pendidikan
  • Seni Bina
  • Sains Gunaan
  • Sains Teknologi / Teknologi Maklumat
  • Kejuruteraan
  • Lain-lain

Perakaunan

  • Perakaunan
  • Pengurusan Perniagaan
  • Pentadbiran Perniagaan
  • Pengurusan Sumber Manusia
  • Ekonomi
  • Teknologi Maklumat
  • Pentadbiran Maklumat
  • Lain-lain

Maklumat

Sila rujuk laman web Bahagian Matrikulasi KPM untuk maklumat lanjut. Sila hubungi talian 03 8884 4036/ 4040/ 4083 jika terdapat sebarang pertanyaan berkaitan dengan Program Matrikulasi ini.

http://eputra.com/program-matrikulasi-kpm-2011/

Monday, August 1, 2011

Tazkirah 1: Puasa Mengikut Cara Rasulullah s.a.w

Sahabat yang dihormati Allah, Ramadhan yang kita nanti-nantikan telah tiba untuk sekali lagi kita berada di dalamnya. Ini tanda Allah masih sayang kepada hamba-hambanya dengan memberi sekali lagi peluang untuk kita bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan ini. Berpuasa adalah aktiviti terpenting dalam bulan ini. Persoalannya bagaimana tips-tips yang diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk puasa kita dinilai tinggi oleh Allah? Mari kita telusuri satu persatu.

Rasulullah s.a.w Bersahur

Rasulullah menganjurkan kita untuk bersahur sebelum aktiviti menahan diri dari makan dan minum di siang hari dimulakan. Bagaimana Rasulullah s.a.w bersahur? Bersahur bukanlah dilakukan ditengah malam, tetapi ia dilakukan di awal pagi, iaitu waktu yang sangat hampir dengan waktu solat subuh. Bersahur juga memberi kesegaran untuk kita menghabiskan hari siang kita dengan berpuasa. Rasulullah s.a.w bersabda:

Dari Anas Bin Malik r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan.
(HR: al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w juga menekankan kepada kita untuk bangun bersahur kerana ia adalah salah satu dari cirri-ciri bersahur orang Islam. Sabdanya:

Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur
(HR: Muslim)

Rasulullah Menyegerakan Berbuka

Tidak melewat-lewatkan berbuka puasa adalah salah satu tips berpuasa yang di ajar oleh Rasulullah. Ini kerana, perbuatan itu sangat mendatangkan kebaikan untuk mereka yang menahan diri dari makan dan minum.

Rasulullah s.a.w di dalam hadithnya menerangkan kepada kita seperti mana yang dilaporkan oleh al-Bukhari & Muslim:

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " لا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ "
Manusia itu akan terus berada dalam kebaikan selagi mana dia menyegerakan berbuka puasa.

Perbuatan melambat-lambatkan berpuasa puasa adalah salah satu perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Masyarakat kita sering melihat perkara ini sebagai satu isu remeh. Apa yang terjadi dalam rata-rata masyarakat kita di Malaysia, ketika masuknya waktu solat maghrib (waktu untuk berbuka puasa), mereka masih lagi berada di bazaar-bazar ramadhan untuk membeli juadah mereka. Penjual juga masih lagi melayan pelanggan tanpa terus berbuka walaupun azan maghrib telah berkumandang. Ibu-ibu di rumah pula masih berada di dapur menyiapkan juadah berbuka puasa ketika azan maghrib bergema. Ini kerana melewat-lewatkan berbuka puasa adalah amalan Yahudi dan Kristian.

Persiapan seharusnya dilakukan dengan segera agar seruan Rasulullah s.a.w untuk kebaikan umatnya dapat diamalkan sebaiknya. Rasulullah telah bersabda di dalam satu hadithnya yang dilaporkan oleh Abu Daud & Ibn Majah yang sanadnya berstatus hasan seperti yang dinilai oleh al-Albani r.h:

قال النبي صلى الله عليه وسلم : " لا يزال الدين ظاهراً ما عجل الناس الفطر لأن اليهود والنصارى يؤخرون "
Agama ini akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya menyegerakan berbuka puasa, ini kerana orang-orang Yahudi dan Kristian, mereka melewat-lewatkannya.

Dikeluarkan dari Musannaf Abdul Razzak dan Fathul Bari (kitab syarah sahih al-Bukhari) ‘Amr Bin Maimun r.h berkata:

وقال عمرو بن ميمون الأودي رحمه الله : " كان أصحاب محمد صلى الله عليه وسلم أسرع الناس إفطارا ًوأبطأهم سحوراً "
Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling cepat (ketika) berbuka puasa dan yang paling lewat (ketika) bersahur.

وعَنْ عُمَارَةَ بْنِ عُمَيْرٍ عَنْ أَبِي عَطِيَّةَ قَالَ :
دَخَلْتُ أَنَا وَمَسْرُوقٌ عَلَى عَائِشَةَ فَقُلْنَا يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ : رَجُلانِ مِنْ أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَدُهُمَا يُعَجِّلُ الإِفْطَارَ وَيُعَجِّلُ الصَّلاةَ ، وَالآخَرُ يُؤَخِّرُ الإِفْطَارَ وَيُؤَخِّرُ الصَّلاةَ ..
قَالَتْ : أَيُّهُمَا الَّذِي يُعَجِّلُ الإِفْطَارَ وَيُعَجِّلُ الصَّلاةَ ؟
قَالَ قُلْنَا عَبْدُ اللَّهِ يَعْنِي ابْنَ مَسْعُودٍ .
قَالَتْ كَذَلِكَ كَانَ يَصْنَعُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ .
Dari Abi ‘Atiyyah katanya: Aku dan Masruq telah bertemu Ummu al-Mu’minin r.anha dan kami berkata kepadanya: “Dua orang lelaki dari sahabat Muhammad s.a.w, salah seorang darinya mempercepatkan berbuka dan mempercepatkan solat, manakala seorang lagi melewatkan berbuka dan melewatkan bersolat...” Ummu al-Mu’minin berkata: “Siapakah diantara mereka berdua yang mempercepatkan berbuka dan menyegerakan bersolat?” Kami berkata: “Abullah iaitu Ibn Mas’ud.” Kata (Ummu al-Mu’minin): “Perbuatan (menyegerakan berbuka) Itulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w”.

Berbuka Dengan Beberapa Biji Kurma

Antara kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w adalah memulakan memakan beberapa biji kurma basah ketika berbuka puasa. Ini untuk memudahkan dirinya bersolat dalam keadaan tidak terlalu kenyang. Pernah diriwayatkan dari Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi katanya:

Rasulullah s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dgn kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air.

Ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Ramai diantara kita yang sering meninggalkan sunnah ini. Mereka menyegerakan berbuka puasa serta makan dan minum sehingga kekenyangan lalu melewatkan bersolat maghrib. Rasulullah makan dengan beberapa biji kurma, kemudian bersolat. Apabila Rasulullah s.a.w terasa lapar, Rasulullah s.a.w makan selepas baginda solat.

Tidur Qailulah

Nabi s.a.w mengajarkan kepada kita agar sentiasa cergas ketika berpuasa di siang hari dan bersemangat melakukan amal ibadat di malamnya. Antara kaedah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah dengan tidur sebentar sebelum solat zohor, perbuatan itu dinamakan dengan Qailulah. Ini untuk memudahkan kita bangun di waktu malam mengerjakan amal ibadat.

Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadith yang dilaporkan oleh Ibn Majah:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ” اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ “
Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda; Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan ibadah malam.

Apa yang terjadi hari ini pada sesetengah masyarakat kita, mereka tidak menerapkan sunnah ini bahkan perbuatan mereka menyalahi sunnah ini. Mereka terutama anak-anak muda menghabiskan waktu siangnya dengan tidur sepanjang hari dan hanya bangun untuk berbuka puasa sahaja. Berpuasa bukanlah bulan tidur kerana keletihan. Puasa adalah bulan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunnah kerana padanya pahala dilipatgandakan.

Menjaga Lidah

Terlalu rugi jika kita berpuasa, tetapi tidak mendapat sedikitpun pahala dari amalan tersebut. Akibatnya, kita hanya mendapat lapar dan dahaga. Antara faktor berlaku kerugian rohani tersebut adalah kerana tidak menjaga lidah. Mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, mengadu domba, banyak bercakap, berbohong, menyanyi lagu-lagu yang lagha juga dilakukan ketika berpuasa.

Umumnya perbuatan ini adalah perbuatan haram untuk dilakukan walaupun bukan pada bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sepotong hadith yang dilaporkan oleh Ahmad dan al-Tabarani:

رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ , وَرُبَّ قَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ قِيَامِهِ السَّهَرُ
Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala)

Rasulullah s.a.w bersabda lagi dalam sebuah hadith yang dilaporkan oleh Imam al-Bukhari:

وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ
Apabila seseorang daripada kamu berada dalam hari puasa, maka janganlah ia memaki dan mengherdik orang lain. Andainya ia dicela oleh seseorang atau dimusuhi, hendaklah ia berkata "Saya berpuasa".

Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi sepertimana yang dilaporkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Majah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda : Sesiapa yang tidak menghentikan percakapan dusta dan terus melakukannya, Maka Allah s.w.t tidak mempunyai hajat pada orang tersebut untuk dia meninggalkan makan minumnya.

Memberi Makan Orang Yang Berpuasa

Antara amalan dan tips yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk meningkat neraca kita adalah dengan cara menginfaqkan sedikit harta dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka-mereka yang berpuasa. Terlalu besar ganjarannya seperti yang diberitahu Rasulullah di dalam hadith-hadith baginda yang mulia. Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh Tirmidzi dan Ibn Majah:

Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya

Bagi mereka yang dijemput untuk berbuka puasa bersama, wajib baginya untuk memenuhi undangan tersebut. Ini kerana, berpuatan membelakangi undangan tersebut dicela oleh Rasulullah dan ianya seoalah-olah telah menentang Rasulullah s.a.w.

Adalah sunnah mereka yang dijemput untuk berbuka puasa mendoakan orang yang menjemput dengan doa-doa yang baik setelah selesai berbuka puasa. Antara doa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah seperti berikut:

  1. Ya Allah, berilah makan orang yang memberiku makan, dan berilah minum orang yang memberiku minum (riwayat Muslim).
  2. Ya Allah, Ampunkanlah mereka, rahmatilah mereka dan berkatilah apa yang telah kau rezekikan kepada mereka (riwayat Muslim).

Doa Ketika Berbuka Puasa

Nabi s.a.w memberitahu kepada kita bahawa berdoa ketika berbuka puasa adalah mustajab berdasarkan hadith-hadith sahih yang warid dari baginda s.a.w. Kita disyorkan untuk berdoa apa sahaja yang kita ingini ketika menunggu waktu tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda seperti yang dilaporkan Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibn Hibban:

إبي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :ثلاثه لاترد دعوتهم : الأمام العادل , والصائم حتى يفطر , ودعوة المظلوم...
Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin yang adil, Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang dizalimi...

Rasulullah s.a.w juga mengajarkan cara berdoa ketika berbuka puasa. Berikut adalah doa yang baik untuk dibacakan oleh kita sebagai memenuhi tuntutan ittiba’ al-Sunnah. Imam al-Darulqutni menilai sanad hadith ini sebagai hasan. Doa tersebut adalah:

ذهب الظماء وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله تعالى
Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala-pahala insyaAllah.

Marilah sama-sama kita berpuasa sepertimana puasanya Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang mulia. Semoga puasa kita pada tahun ini mampu mengubah dimensi hidup kita yang bercerminkan sunnah Rasulullah dalam beribadat. Perbanyakkanlah membaca al-Quran dan berzikir, nasihat menasihati serta berdakwah kepada Islam. Jadikan ramadhan kali ini penuh makna untuk diri kita dan masyarakat. Wallahu A’lam.

http://pemudacheh.blogspot.com/2011/07/puasa-mengikut-cara-rasulullah-saw.html