SAMBUTAN AIDILFITRI MENURUT PERSEPSI ISLAM |
Sambutan Aidilfitri dimulai dengan takbir pada malam 1 Syawal. Takbir
adalah satu sunnah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “...supaya
kamu membesarkan Allah (bertakbir) kerana mendapat nikmat
petunjuk-Nya...” (Surah Al-Hajj, ayat 37)
Pada malam Hari Raya, kita disuruh bertakbir bagi memuji, mengagungkan
dan bersyukur ke hadrat Allah kerana telah mengekalkan kita di atas
jalan petunjuknya, berada di dalam nikmat iman dan berjaya melaksanakan
perintah puasa. Lafaz takbir mengandungi pengertian yang sangat penting
dalam menyucikan hati daripada sifat keji, terutama syirik, bongkak dan
sombong. Umat Islam disunatkan terus bertakbir bermula selepas Maghrib
menjelang malam hari raya pertama hingga imam selesai membaca khutbah
selepas solat sunat hari raya keesokannya.
Dalam ertikata sebenarnya, Aidilfitri merupakan hari meraikan kejayaan
bagi orang-orang yang telah melaksanakan ibadah yang dituntut di bulan
Ramadan iaitu ibadah puasa. Mereka berhak bergembira menyambut
Aidilfitri. Rasulullah (saw) bersabda:
"Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan,
gembira ketika hari berbuka (Aidilfitri) dan gembira ketika bertemu
Tuhanmu ".
Pastinya, cara umat Islam menyambut kegembiraan dan kejayaan ini
berbeza dari cara orang-orang bukan Islam menyambut perayaan mereka.
Umat Islam ada adab sopan dan peraturan yang perlu dipatuhi sebagaimana
kita menjalani hari-hari yang lain. Bagi umat Islam, mereka
dianugerahkan oleh Allah dua hari raya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
Anas menceritakan: “ Ketika Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)
Jelas di sini, Aidilfitri bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya.
Ia juga bukanlah hari yang direka-reka oleh manusia. Ia merupakan anugerah Allah sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan.
Dalam kita menyambut 1 Syawal, sayugialah umat Islam semuanya mensyukuri nikmat Allah dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam sambutan Aidilfitri. Kita juga dilarang membazir dalam membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya. Bagaimanapun, kita disuruh memakai pakaian yang paling baru di Hari Raya terutama ketika pergi ke masjid. “Paling baru” tentulah tidak semestinya bermaksud yang baru dibeli setiap tahun. Jika ada yang lama tetapi masih cantik dan sempurna digunakan tentulah sudah memadai.
Dalam menghias rumah dan menyediakan makanan juga, umat Islam dituntut agar tidak berlebih-lebihan, apatah lagi jika ada saudara-saudara kita yang menyambut Hari Raya dalam keadaan serba kekurangan.
Firman Allah bermaksud: "Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu kufur terhadap Tuhannya". – (Al-Israa': 26-27)
Perkara terpenting dalam menghidupkan syiar Aidilfitri ini ialah kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi dan mempereratkan silaturrahim sesama ahli keluarga, sanak saudara, jiran-tetangga dan juga sahabat handai.
Firman Allah bermaksud: "Takutilah Allah Subhanahu wa Taala yang kami memohon kepadaNya dan hubungkanlah silaturrahim.”
– (Surah An-Nisa': 1)
Kesimpulannya, sambutlah Syawal dalam keadaan kita seperti di sepanjang Ramadan, tunduk bertakwa dalam suasana beribadat kepada Allah. Hiasilah siang dan malam Aidilfitri dengan tahlil, tahmid dan takbir. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam keberkatan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala. Amin.