SUNTIKAN MINDA

"Bergembiralah dengan pilihan Allah untuk anda, sebab anda tidak tahu tentang muslihat yang tersembunyi di sebaliknya. Boleh jadi kesulitan itu lebih baik bagi anda daripada kesenangan....."

Tuesday, February 23, 2010

Aktiviti 9: Kursus Kepimpinan Pemimpin Pelajar 2010






Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Lembaga Pemimpin Pelajar telah mengadakan kursus kepimpinan untuk pemimpin-pemimpin pelajar. Kursus ini diadakan di D'Kok Eco Camp, Kg Talang, Tg. Ipoh, Kuala Pilah pada 19 - 21 Februari 2010. Pelbagai aktiviti telah dijalankan...Semua peserta kursus berasa gembira dan puas hati dengan program yang telah dijalankan terutama aktiviti outdoor. Perasmian penutup program ini telah dilaksanakan oleh YB Dato' Shamsulkahar bin Mohd Deli, Exco Pelajaran dan Pengajian Tinggi.

Wednesday, February 17, 2010

Kerjaya 7: Chef / Ketua Tukang Masak





Gelaran "Chef" diberi untuk ketua tukang masak yang masak secara profesional dalam dapur yang direka bentuk secara profesional. Seserang chef bertanggungjawab penuh di dapur termasuk bidang pengurusan dapur. Mereka ini menyelia semua staf-staf dapur, mencipta menu yang sesuai untuk kafeteria/restoran melalui perbincangan dengan pengurus. Perkataan "Chef" berasal daripada perkataan Perancis yang bermaksud ketua atau pemimpin di dapur

Pelantikan Chef:
Seseorang chef yang dilantik perlu menguasai masakan tempatan sekurang-kurangnya 65 jenis hidangan pada bila-bila masa. Biasanya temuduga pengambilan chef adalah melalui ujian amali yang memerlukan mereka menyediakan hidangan makanan untuk 4 juri. Seseorang chef yang ditemuduga juga perlu mengetahui harga jualan hidangan dan kos perbelanjaan satu hidangan dengan menerangkan kos perencah, jangka masa, tujuan hidangan dan kos bahan mentah yang digunakan untuk memasak hidangan tersebut.
Seseorang chef juga perlu sentiasa mereka cipta resipi baru. Selain itu, chef yang dilantik perlu memesan bahan mentah masakan yang perlu, melatih pekerja baru untuk bahagian dapur, sentiasa mengawal-selia kebersihan serta keselamatan semasa penyediaan makanan di tempat masak.

Jawatan-jawatan Pentadbiran Dapur:
* Sous-chef de cusine (Penolong Ketua Tukang Masak)
Membantu Chef untuk menjalankan tugas-tugas pentadbiran mewakili chef ketika chef tidak
hadir atau cuti.

* Chef de partie (Penolong Kanan)
Menguruskan bahagian-bahagian yang terdapat di dapur seperti bahagian penyediaan bahan
mentah, bilik sejuk/peti sejuk, bahagian masak nasi, bahagian goreng dan bahagian
penyediaan jamuan dan juga dia adalah seorang yang mahir dalam bahagian 'ala-Carte'.

* Cuisiner (Tukang Masak)
Tukang masak ini bertanggungjawab membuat menu yang tertentu seperti menu nasi kandar,
tukang masak sarapan untuk mi goreng, kuetiau, bihun, nasi lemak dan lain-lain hidangan
untuk sarapan pagi, penebar roti canai dan lain tugas yang perlu diambil kira.

* Pembantu Tukang Masak
Ditugaskan di bahagian masing-masing tetapi mereka merupakan penolong tukang masak
secara terus. Biasanya mereka akan ditugaskan untuk menyediakan bahan-bahan masakan
serta menjaga semua peralatan dapur dan kebersihan dapur.

* Stewards (Pencuci Pinggan Mangkuk)
Mereka ditugaskan untuk mencuci semua peralatan dapur termasuk peralatn hidangan dan
lain-lain. Mereka ini juga boleh ditugaskan untuk menyiapkan persediaan bahan untuk
dimasak.

Bukanlah mudah untuk menguruskan sebuah dapur komersial selain dari reka cipta menu-menu dan hidangan yang sedap dan cantik. Sebenarnya dapur komersial ialah umpama sebuah kilang pengeluar makanan yang merangkumi mesin-mesin peralatan masak, masa yang kritikal persiapan hidangan, faktor suhu yang panas dabn pengendalian secara teknikal keseluruhan proses pengeluaran yang akan sentiasa berulang.

Bidang Pengajian
Terdapat banyak kursus-kursus yang ditawarkan berkaitan dengan bidang penyediaan makanan ini di institusi-institusi pengajian tinggi awam, swasta, kolej mahupun pusat-pusat latihan seperti Pusat Giat Mara dan lain-lain lagi samada di peringkat sijil, diploma,ijazah mahupun diperingkat yang lebih tinggi.

Tuesday, February 9, 2010

KERJAYA 6: PEGUAM

Peguam wajib jadi pembantu kebenaran

Oleh Zainul Rijal
zainul.rijal@abubakar.my


KEWIBAWAAN seorang peguam bercirikan Islam yang berpegang kepada prinsip guaman yang betul akan mencerminkan institusi kehakiman negara serta dihormati oleh masyarakat. - Gambar hiasan

Keadilan perlu ditegak demi meletakkan hak kepada yang mempunyai hak

UMUM mengetahui bahawa dalam setiap tindakan di mahkamah sama ada Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah, peguam adalah pihak penting membantu perjalanan kes. Tanpa peguam, perjalanan prosiding di mahkamah kadangkala pincang dan tidak teratur. Secara umumnya, profesion kepeguaman berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri.

Seseorang yang tidak mempunyai minat dalam profesion guaman sudah tentu tidak akan mencurahkan kudrat mereka sepenuhnya di dalam profesion ini. Seseorang peguam Muslim wajar berusaha memiliki kualiti seperti berintegriti, sabar, suka mencari ilmu, meluangkan masa, tenaga dan kepakaran untuk membantu pihak yang memerlukan tanpa menjadikan wang sebagai ganjaran dan matlamat utama.

Sebaliknya, perlu menjadikan peluang berkhidmat dan membantu pihak teraniaya sebagai keutamaan. Peguam Muslim bukanlah berada di bawah tanda aras peguam yang cemerlang malah ada kalanya peguam Muslim lebih mantap dan tinggi kualiti perkhidmatannya berbanding dengan peguam lain. Memang tidak dapat dinafikan seorang peguam menggalas harapan yang tinggi daripada anak guamnya dan dibeban dengan pelbagai tanggungjawab. Seorang peguam Muslim sudah tentu mempunyai tanggungjawab yang lebih kerana menjunjung nama Islam.

Antara ciri asas yang perlu ada pada peguam Muslim ialah mesti mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan. Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti di mana tugasan itu memerlukan mereka bersikap profesional, jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesionalisme tinggi peguam.

Peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada pelanggan, peguam lain dan mahkamah dalam menegakkan keadilan. Di samping itu, sikap mengambil berat dan sabar dalam berurusan juga adalah suatu kemestian. Sikap ini menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan semua pihak sama ada pihak lawan dan peguam mereka dengan adil, baik dan sewajarnya serta menjauhi daripada bertindak tidak adil dan prejudis terhadap mana-mana pihak sepanjang proses undang-undang dilaksanakan.

Ini bermakna, walaupun peguam mewakili pelanggannya, pada masa sama, peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan sebaiknya demi kesejahteraan kes dan pihak yang diwakili.

Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu pula adalah tuntutan di dalam Islam. Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu dengan menggunakan pelbagai kaedah sama ada menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman perkara yang belum difahami. Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum diketahui.

Peguam berpengalaman juga perlu terbuka untuk mencurah pengalaman kepada peguam baru sebagai pelapis profesion ini. Bersikap baik dan mengambil berat pula adalah sikap yang amat positif. Peguam yang mengambil berat profesion ini akan mengambil pendekatan baik dan mengambil berat serta menghormati bukan saja kepada mahkamah dan rakan sekerja, malah juga seluruh manusia yang digaulinya.

Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat yang diputuskan, temu janji dibuat, mengambil berat kepada jadual tugasan dan memberi komitmen tinggi kepada apa yang perlu dilaksanakan. Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan, komited dalam tugasannya serta menghormati kepercayaan diberikan terhadapnya.

Kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak pula menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya. Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan undang-undang dan menjaga sistem keadilan yang diperjuangkan.

Peguam tidak wajar terbabit dalam urusan undang-undang saja, tetapi perlu turut sama dalam urusan memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal membabitkan perundangan, pendidikan, khidmat sosial, kebajikan dan sebagainya. Ketika berurusan dengan pihak lawan serta peguam mereka atau mana-mana pihak yang terbabit dalam sistem perundangan negara, peguam mesti berusaha menjadikan sistem keadilan itu dapat berfungsi dengan baik dan cemerlang.

Peguam Muslim perlu mengelak daripada melakukan perkara yang boleh memberi kesan buruk, menjatuhkan nama baik mahkamah, sistem perundangan atau menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan terhakis.

Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan dan mencadangkan kepada pelanggan alternatif untuk menyelesaikan pertelingkahan dan masalah seperti menggunakan kaedah sulh, mediasi dan sebagainya.

Hadis diriwayatkan Abu Dawud yang bermaksud: 'Hakim itu ada tiga jenis. Satu di dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka�' memberi penekanan mengenai konsep integriti. Hadis itu bukan saja ditujukan kepada hakim, malah untuk peguam kerana hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti akan mengheret peguam yang berhujah secara palsu di hadapannya bersama mereka.

Oleh itu, peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kepada kebatilan. Peranan peguam Muslim sangat besar sebagai pembantu mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang mempunyai hak.

Jika sesuatu kes itu membabitkan kepercayaan yang bertentangan dengan keimanan mereka, agak sukar bagi peguam Muslim ini untuk mengendalikannya. Peguam Muslim yang mempunyai prinsip tidak akan goyah dengan ujian di dunia ini.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Syarie Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my

Saturday, February 6, 2010

Lontaran 4: Biasiswa JPA 2010 - Tajaan Untuk Lepasan SPM 2009

Siaran Akhbar: Program Penajaan JPA 2010

Makluman Awal Mengenai Program Penajaan JPA 2010 Bagi Lulusan SPM 2009

PENTING! MESTI DIBACA OLEH LEPASAN SPM 2009 YANG BERMINAT UNTUK MENDAPAT BIASISWA JPA 2010

  1. PENDAHULUAN

    Modal Insan berkualiti merupakan prasyarat utama untuk menyokong agenda pembangunan negara. Oleh itu, Kerajaan akan sentiasa memastikan pembangunan modal insan dilaksanakan secara komprehensif, meliputi usaha-usaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan. Selain itu, langkah akan diambil untuk membentuk individu berintelek dalam bidang sains dan teknologi serta memupuk nilai-nilai positif dan progresif. Sehubungan itu, Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) akan menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara di peringkat Ijazah Pertama. Penawaran biasiswa ini diteruskan pada tahun 2010 dengan memberi fokus kepada bidang-bidang kritikal seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Sains Perubatan Veterinar, Kejuruteraan, Sains & Teknologi serta bidang Sains Sosial yang diperlukan oleh perkhidmatan awam dan negara.Program Penajaan JPA 2010 terdiri daripada:

    1. PROGRAM BIASISWA NASIONAL

      Dalam pembentangan Bajet 2010 pada 30 Oktober 2009, Y.A.B. Perdana Menteri telah mengumumkan penganugerahan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kalangan yang terbaik untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia berasaskan kepada merit mulai tahun 2010.Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan mengenal pasti pelajar paling cemerlang dari kalangan pelajar yang mendapat A+ dalam semua mata pelajaran peperiksaan SPM untuk ditaja di bawah Program Biasiswa Nasional ini.

      Pelajar-pelajar akan ditaja untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di universiti-universiti terkemuka di dalam ataupun luar negara dalam pelbagai bidang pengajian mengikut minat dan pilihan pelajar.

      Maklumat dan syarat asas untuk Program Biasiswa Nasional adalah seperti berikut:

      • Terbuka untuk calon lepasan SPM 2009 yang memperolehi keputusan A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil dan minimum bilangan mata pelajaran yang dinilai adalah sebanyak sembilan mata pelajaran (Pencalonan akan ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia);
      • Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2009;
      • Calon perlu melalui proses temuduga; dan
      • Calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA.

      Kriteria yang digunapakai untuk pemilihan/penawaran biasiswa Kerajaan/JPA adalah seperti berikut:

      • Pencapaian akademik; dan
      • Prestasi temuduga.
    2. PROGRAM IJAZAH LUAR NEGARA (PILN)

      Program Ijazah Luar Negara (PILN) merupakan program penajaan kepada pelajar-pelajar cemerlang lepasan SPM untuk mengikuti program Ijazah Pertama di universiti luar negara.Maklumat dan syarat asas untuk PILN adalah seperti berikut:

      • Terbuka untuk calon lepasan SPM 2009 yang memperolehi keputusan cemerlang;
      • Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2009;
      • Calon perlu melalui proses temu duga; dan
      • Calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA.

      Kriteria yang digunapakai untuk pemilihan/penawaran biasiswa Kerajaan/JPA adalah seperti berikut:

      • Pencapaian akademik;
      • Penglibatan dalam kegiatan ko-kurikulum;
      • Prestasi temu duga; dan
      • Sosio-ekonomi/latar belakang keluarga.

      Penajaan bagi tahun 2010 mengambil kira kecemerlangan akademik, kepelbagaian latar belakang kaum, latar belakang sosio ekonomi calon bagi menentukan penawaran dilaksanakan dengan adil dan saksama.

      PILN 2010 adalah dibuka khusus kepada lepasan SPM tahun 2009 yang memperolehi keputusan yang cemerlang. Pada tahun 2009, seramai 455,317 orang calon telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding seramai 442,936 orang pada tahun 2008. Peningkatan bilangan calon ini dijangka akan menjadikan PILN 2010 lebih kompetitif. Pada tahun 2009, misalnya, JPA telah menerima sebanyak 15,084 permohonan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,469 permohonan diterima daripada kalangan calon yang mendapat keputusan 1A dalam semua mata pelajaran SPM tahun 2008. Setiap tahun PILN menjadi tumpuan banyak pihak sehingga mewujudkan pergantungan harapan yang tinggi terutamanya di kalangan calon dan juga ibu bapa. Dua bidang yang paling popular di kalangan calon ialah Kejuruteraan dan Perubatan. Manakala, negara pengajian pilihan oleh majoriti calon/pelajar ialah United Kingdom, Australia dan New Zealand.

    3. PROGRAM IJAZAH DALAM NEGARA (PIDN)

      Pelajar-pelajar cemerlang yang tidak terpilih, disebabkan persaingan yang sengit di bawah program PILN, akan ditawarkan tajaan untuk mengikuti pengajian di dalam negara sama ada di empat buah universiti penyelidikan di Malaysia iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putera Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM), IPT tempatan, kampus-kampus cawangan University of Nottingham, Monash University, Swinburne University of Technology dan Curtin University of Technology atau Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), AIMST University, Universiti Kuala Lumpur (UniKL)-Royal College of Medical Sciences (RCMS), Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS), Alliance College of Medical Sciences (ACMS)-UKM dan University College Sedaya International (UCSI).Pelajar yang berjaya ditawarkan akan ditaja di peringkat matrikulasi/asasi/pra-universiti dan ijazah pertama sekiranya melepasi syarat akademik yang ditetapkan.

      Selain itu program penajaan dalam negara (PIDN) turut menawarkan biasiswa diperingkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Kejuruteraan, Undang-Undang, Sains Tulen & Gunaan, Pengurusan dan Sastera di IPTA dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

  2. PROSES PEMILIHAN

    Calon-calon dinasihatkan supaya membuat pilihan secara bijak dan memberi perhatian kepada perkara-perkara seperti berikut:

    • Kriteria pemilihan - peluang adalah lebih tinggi bagi calon yang mendapat gred A bagi sembilan mata pelajaran dan aktif di dalam kegiatan ko-kurikulum berbanding dengan calon yang mendapat gred A bagi 15 mata pelajaran tetapi tidak aktif di dalam kegiatan ko-kurikulum;
    • Kursus/bidang - selain perubatan, terdapat bidang kritikal lain yang ditaja iaitu Pergigian, Farmasi dan Sains Perubatan Veterinar. Di samping itu tajaan juga diberikan kepada bidang lain seperti Ekonomi, Sains dan Perakaunan yang juga amat diperlukan oleh negara dan perkhidmatan awam;
    • Pilihan kursus - calon hendaklah memilih kursus pengajian yang bersesuaian dengan kelayakan SPM yang dimiliki;
    • Negara - penetapan negara tempat pengajian adalah menjadi hak JPA/penaja. Calon adalah dinasihatkan agar menerima keputusan penaja kerana apa yang penting adalah matlamat utama iaitu untuk melanjutkan pengajian. Semua kursus di negara-negara yang ditaja oleh JPA adalah of good standing dan diiktiraf. Sebagai contoh pelajar yang bergraduat dalam bidang Perubatan di Indonesia, India dan Rusia akan tetap dilantik sebagai Pegawai Perubatan seperti mana mereka yang bergraduat daripada Ireland, United Kingdom atau Australia.

    Peruntukan kewangan dan tempat pengajian ke luar negara terutama bagi kursus-kursus kritikal (perubatan/pergigian/farmasi/perubatan veterinar) adalah terhad namun permohonan yang diterima adalah tinggi dan ini menyebabkan wujudnya persaingan yang sengit di kalangan pemohon. Contohnya pada tahun 2009, sebanyak 5,181 permohonan telah diterima bagi mengikuti kursus kritikal, namun peruntukan tempat yang disediakan hanyalah sebanyak 772 sahaja. Ini menunjukkan hanya seorang calon akan terpilih daripada setiap enam permohonan.

  3. KAEDAH PERMOHONAN

    Iklan tawaran dan maklumat lanjut akan disiarkan menerusi portal www.jpa.gov.my dan juga akhbar-akhbar utama pelbagai bahasa pada bulan Mac 2010. Calon perlu merujuk ke portal www.jpa.gov.my untuk mendapatkan butiran tawaran dan syarat kelayakan PILN 2010 yang akan mula dibuka secara atas talian (on-line) mulai tarikh keputusan SPM 2009 diumumkan secara rasmi.Calon-calon yang memenuhi syarat-syarat dan kriteria PILN serta memiliki kelayakan bahasa asing seperti bahasa Jerman, Perancis atau Jepun akan diberi pertimbangan sewajarnya sekiranya memohon program pengajian ke negara-negara berkenaan.

    Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor akan diadakan pada bulan Mac 2010 di hospital-hospital Kerajaan yang akan ditetapkan oleh JPA. Calon yang memohon untuk mengikuti program perubatan adalah diwajibkan menghadiri program ini.

    Pelajar-pelajar yang memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan akan dipanggil ke sesi temu duga yang akan dijalankan pada bulan April 2010. Urusan temu duga akan dijalankan secara berkumpulan mengikut dua kelompok utama bidang pengajian iaitu kritikal dan strategik.

    Ahli-ahli panel bagi bidang kritikal terdiri daripada pegawai perubatan/pergigian/ farmasi dan perubatan veterinar manakala ahli-ahli panel bagi bidang strategik terdiri daripada pensyarah, jurutera dan pegawai kanan dari pelbagai skim perkhidmatan.

    Calon-calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA. Calon juga perlu mencapai had kecemerlangan (cut-off point) yang ditetapkan, mencapai rekod kehadiran kelas melebihi 90% dan tidak mempunyai rekod disiplin bagi membolehkan calon diteruskan penajaan ke universiti-universiti di luar negara.

  4. PENUTUP

    Pemakluman awal ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada bakal calon/pelajar akan senario permohonan, kriteria pemilihan, had penawaran dan saingan serta persediaan yang perlu dihadapi oleh setiap orang calon/pelajar bagi mendapatkan tawaran biasiswa Kerajaan yang diuruskan oleh JPA.Tanggapan umum bahawa prestasi akademik adalah jaminan dan menjadi faktor penentu untuk calon-calon mendapatkan biasiswa khususnya untuk PILN adalah tidak tepat. Harapan JPA adalah agar calon yang tidak berjaya tidak membuat perbandingan dengan calon yang lain dan mempersoalkan kenapa mereka tidak ditawarkan biasiswa atas alasan mencapai prestasi akademik yang cemerlang.

    Bersandarkan kepada faktor-faktor seperti bilangan permohonan yang tinggi di kalangan calon yang cemerlang serta bilangan biasiswa yang terhad, PILN 2010 dijangka akan terus menjadi amat kompetitif. JPA dengan ini menasihatkan calon serta ibu-bapa agar bersedia dan berusaha juga untuk mendapatkan sumber-sumber penajaan yang lain.

    Maklumat umum berkaitan penawaran biasiswa Kerajaan/JPA juga boleh diperolehi dengan menghubungi talian 03-8885 3412 (lima talian) mulai 10 Mac 2010 atau hadir sendiri di kaunter-kaunter Bahagian Pembangunan Modal Insan, JPA di Lobi, Blok C1, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya mulai jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang.

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
3 Februari 2010

Kerjaya 5 : FRU - Pasukan Simpanan Persekutuan (Federal Reserve Unit)




FRU telah ditubuhkan sebagai sebuah pasukan khas yang boleh dikerah tanpa mengira waktru untuk bertindak secara tegas dan sistematik terhadap sebarang rusuhan atau perhimpunan haram yang berlaku di Malaysia. Unit ini adalah serba lengkap dan berkemampuan, bermobiliti tinggi dan menjadi Unit Simpanan Ketenteraman Awam.

Bidang Pengajian
Untuk berkhidmat sebagai anggota keselamatan FRU, seseorang itu haruslah memohon melalui Polis DiRaja Malaysia(PDRM) kerana pasukan FRU ini terletak di bawah unit PDRM. PDRM mempunyai pelbagai unit yang setiap satunya mempunyai tugas yang berbeza seperti yang disenaraikan di bawah:
* Pasukan Simpana FRU
* Persenjataan
* Polis Marin
* Jabatan Siasatan Jenayah
* Pasukan Polis Hutan
* Semboyan
* Komputer
* Unit Berkuda
* Unit Udara
* Trafik (Caw Lalulintas)
* Tugas Am
* Pengangkutan
* Unit Tindakan Khas (UTK)
* Cawangan Kereta Perisai
* Cawangan Siasatan Jenayah Perdagangan
* Cawangan Antidadah (Narkotik)
* Cawangan Khas (SB)
* Bekalan (NAU)
* Cawangan Perhubungan Awam
* Unit Pengesan (Dog Unit)
* Pancaragan Polis DiRaja * Polis Pelancong
* Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP)

Jika terpilih menyertai pasukan polis ini, seseorang itu diwajibkan mengikuti kursus-kursus serta latihan seperti berikut:
- Menjalani kursus asas selama 12 bulan atau pada satu tempoh yang ditetapkan mengikut arahan semasa di pusat-pusat latihan polis, memperlajari undang-undang, sains kepolisan, kawad, persenjataan, latihan jasmani termasuk seni mempertahankan diri.
- Menjalani latihan amali di daerah-daerah polis selama 9 bulan
- Menjalani tempoh percubaan selama 3 tahun dari tarikh mula berkhidmat sebelum disahkan dalam jawatan.

Bidang tugas pasukan FRU - sentiasa terdedah kepada keadaan yang merbahaya dengan situasi yang tidak menentu. Oleh itu mereka telah dipersiapkan dengan segala persediaan, latihan dan kawalan keselamatan diri yang lengkap untuk menghadapi keadaan yang merbahaya tersebut. Anggota pasukan ini juga perlu sedia berkorban masa dan tenaga kerana arahan yang diberikan kepada mereka untuk bertugas tidak mengira masa.

Thursday, February 4, 2010

Kerjaya 4: Wartawan




Adakah anda suka akan cabaran, bertemu dengan orang ramai, kreatif serta mampu bekerja secara kumpulan atau menerima tekanan? Jika anda suka akan semua elemen di atas,pekerjaan sebagai wartawan mungkin bersesuaian dengan anda.
Wartawan atau jurnalis adalah seseorang yang ,melakukan jurnalisme, iaitu orang yang menulis berita itu dalam media massa secara teratur. Wartawan mencari sumber mereka untuk ditulis dalam laporannya dan mereka perlu menulis laporan yang paling objektif dan tidak memiliki pandangan dari sudut tertentu untuk melayani masyarakat.

Syarat Melanjutkan Pengajian
Mendapat kelulusan yang baik di peringkat SPM dan SPMV serta kepujian dalam BM, BI dan Matematik. Selain itu, pelajar perlu mendapat prinsipal yang baik dalam STPM. Ini kerana pengambilan di kebanyakan IPT memerlukan kelulusan STPM dan kelulusan matrikulasi untuk melanjutkan pengajian terus ke peringkat ijazah sarjana muda.
IPTA yang menawarkan pengkhususan dalam bidang kewartawanan ialah UKM, USM, UiTM
manakala UIAM, UM, UNIMAS, UMS, UUM pula menwarkan kursus Komunikasi Massa yang juga asas kepada bidang kewartawanan.

Kerjaya sebagai wartawan memerlukan komitmen bekerja dalamsetiap lapangan untuk mencari berita yang terkini. Kerjaya ini bukan sahaja meluaskan pengetahuan bahkan juga menjadi penghubung antara rakyat dengan kerajaan. Seseorang wartawan boleh mendapat maklumat dan cara penulisan yang baik adalah dengan banyak membaca. Dengan banyak membaca, seseorang wartawan dapat memperkemaskan corak penulisan.

Wednesday, February 3, 2010

TAUTAN KASIH PRS 2010






Salam Famili....
Usaha untuk mengadakan BBQ PRS ini adalah idea Cikgu Fahrid yang bertujuan untuk meraikan kejayaan famili disamping merapatkan lagi silaturrahim dan berkongsi pengalaman antara famili yang telah berhijrah ke sekolah lain. Walaupun ahli famili semakin berkurang di PZ bukan bermakna hubungan antara kita semakin renggang...Saya rasa cukup berbangga kerana pelajar-pelajar yang telah menaikkan nama sekolah dengan mencapai kejayaan cemerlang dalam PMR 2009 ramai dalam kalangan famili PRS. Tahniah!

Ingatlah wahai famili.... orang yang cemerlang sentiasa melihat setiap halangan itu sebagai peluang untuk mengasah potensi..manakala orang yang tidak cemerlang pula menganggap setiap halangan sebagai alasan yang menyebabkan kemundurannya. Oleh itu gantungkanlah cita-citamu setinggi-tinggi bintang di langit dan rendahkanlah dirimu serendah-rendah rumput dibumi...